|

  Sirih berlipat sirih pinang,            Sirih dari pulau mutiara; Pemanis kata selamat datang,           Awal Bismillah pembuka bicara. Kata-Kata Aluan Penyelaras UKWB Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Selamat datang ke laman sesawang Unit Kecemerlangan Warisan Bangsa (UKWB), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya berasa amat bersyukur kerana hasrat UKWB untuk menghasilkan laman sesawang sendiri akhirnya tercapai juga setelah usaha secara kolaboratif antara UKWB, dan Unit Teknologi Maklumat, serta sokongan kuat pihak pengurusan FBMK. Laman ini adalah sebagai pangkalan data berkenaan ciri-ciri warisan bahasa, sastera dan budaya bangsa. Saya amat mengharapkan usaha ini akan sentiasa mendapat sokongan daripada semua pihak supaya warisan bangsa dapat didokumentasi dan dilestari demi generasi masa hadapan. Peranan UKWB sebagai entiti kecemerlangan FBMK khususnya dan UPM amnya perlu memperlihatkan tahap kecapaian yang tinggi selaras dengan status UPM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan negara. Bagi menanggung amanah ini, UKWB akan sentiasa bersifat relevan dengan perkembangan dunia ilmu dan maklumat. Laman sesawang ini menjadi wadah interaktif yang mengumpul dan menyebarkan data tentang warisan bangsa, melangkaui batas masa, geografi, sosial, politik, dan sistem kepercayaan. UKWB terbuka kepada sebarang pandangan dan kritikan demi mempertingkatkan lagi ketrampilan dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Kami juga mengalu-alukan sumbangan dalam pelbagai bentuk; data, gambar, manuskrip, artifak, buku, makalah, majalah, peralatan rumah, busana, senjata, alat muzik, model 3-D, miniatur, fosil, ukiran, dan sebagainya, untuk dijadikan koleksi kajian galeri UKWB. Selamat melayari laman sesawang UKWB. Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop Penyelaras UKWB |